“Alhamdulillah….!”
Bersujud syukur setiap hamba Allah yang menghargai sebuah keadilan.
Keadilan yang menjadi tunggak sesebuah kuasa. Mengkhianatinya akan mengheret kejatuhan sebagai hukum Alam sebelum hukum Agama.
Tanggal bersejarah 11 Februari ’11, Omar Suleiman membuat pengumuman perletakan jawatan Presiden Republik Arab Mesir ketiga, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak selepas tiga dekad pemerintahannya.
18 hari rakyat Mesir berhimpun di Dataran Merdeka Kaherah, tegas dengan satu tuntutan.
Pelbagai insentif ditawarkan oleh Hosni Mubarak, memecat kabinet dan melantik Perdana Menteri yang baru, malah buat pertama kalinya mewujudkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh anak didik CIA kesayangannya, Omar Suleiman, segalanya ditolak dengan aman oleh seluruh rakyat. Mereka hanya mahukan satu.