Pages

Saturday, September 24, 2011

Isu Hudud Petanda Akhir Masuknya Musim Pilihanraya




Isu Hudud Petanda Akhir Masuknya Musim Pilihanraya

1. Tidak ada petir, tidak ada guruh, tiba - tiba isu perlaksanaan hukum hudud timbul kembali. Pada pandangan saya, apabila timbul isu perlaksanaan hukum hudud dan ia dimulakan oleh pemimpin dan mantan pemimpin UMNO dan BN maka ia menandakan masuknya musim pilihanraya.
2. Isu perlaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihanraya. Isu ini tidak pernah muncul pada musim panas mahupun musim sejuk. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim - musim lain seperti musim haji, musim perayaan, musim cuti hatta musim durian sekalipun. Isu hudud hanya muncul dengan segala ribut polemiknya apabila tiba musim pilihanraya.
...
3. Hudud adalah sebahagian dari syariat Allah swt yang telah dinaskan di dalam al Quranul Karim. Tuntutan melaksanakannya adalah kekal sejak ia diwartakan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta langit, bumi, manusia dan seluruh alam cakrawala ini. Justeru itu, ia bukan satu isu ! sebaliknya ia adalah ilmu dan syariat yang mesti dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati oleh ummat Islam.

4. Saya kagum dan menyokong kenyataan YAB Ayahanda Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokong. Sebetulnya adalah satu keistiqamahan yang dituntut kepada semua pemimpin dan anggota Jamaah Islam. Maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihanraya telah tiba.
5. Perbahasan mengenai hudud tidak selayaknya di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan, tetapi ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan feqh yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun.
6. Perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti Universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, dialog atau halaqah - halaqah tertentu yang dilakukan secara berterusan.
7. Saya menyarankan kepada semua termasuk non muslim dan khasnya kepada pemimpin - pemimpin UMNO dan BN yang mahu memahami dan mendalami hukum hudud dan perlaksanaannya supaya daftar dan menyertai kelas pengajian di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad [KUIZM]. Inilah antara tempat yang sesuai untuk belajar, berdiskusi dan berwacana kearah memahami hukum hudud yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'
8. Berbahas dan berpolemik di dada media, pula mendedahkan isu ini kepada komentar orang ramai yang bercakap tidak berasaskan ilmu adalah suatu yang tidak selayaknya berlaku justeru ia akan mendedahkan kesucian hukum Allah swt ini kepada pencemaran fikrah [pemikiran] dan aqidah [keyakinan].
9. Musim pilihanraya hampir serupa dengan musim tengkujuh dalam beberapa aspek terutama ribut yang menghuru - harakan dan petir yang gegak gempita. Kini UMNO dan Agensinya sedang porak peranda ekoran siri pendedahan yang konsisten Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi memenangkan UMNO dan BN melalui cara yang tidak demokratik.
10. Selesaikan dulu kepincangan politik dan ketempangan demokrasi negara kerana inilah isu sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat keseluruhannya mendepani pilihanraya umum yang akan datang.

  • Hak mereka mengundi tercalar dengan wujudnya ic klon dan nama pemilih yang bertindih.
  • Kedaulatan negara terganggu dengan wujudnya pemegang ic berkod 71 tanpa dikenali dan diketahui asal usulnya dengan jumlah melebih 170 ribu.
  • Demokrasi tercemar apabila peraturan yang digubal tidak konsisten dan tidak saksama.
  • Integriti pengendali sistem pilihanraya [SPR] negara yang tercalar kerana sikap yang bias dan tidak telus.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here