ADA segolongan manusia yang berpendapat bahawa manusia dan alam dijadikan tanpa tujuan tertentu. Alam yang terbentang luas ini terdedah kepada pengolahan manusia sesuai dengan tingkat ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Manusia dan alam dianggap seperti satu sistem yang bertindak balas di antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Pada pandangan mereka, hidup hanya untuk keperluan kebendaan semata-mata.
Ini adalah pandangan sains sekular. Bagi mereka, manusia tidak mempunyai tujuan dan arah tertentu dalam kehidupan, melainkan sebagai ejen perubahan alam ini. Manusia dipecahkan kepada komponen alam tanpa mengambil kira faktor serta peranan akal, hati dan nafsu tabii manusia itu sendiri.
Menurut pandangan satu persatuan ahli geografi Amerika Syarikat yang dikeluarkan sekitar tahun 1920-an, semua kegiatan manusia dipengaruhi oleh alam sekitar. Iklim, cuaca dan tanah mempengaruhi bidang pertanian petani. Begitu juga faktor angin yang mempengaruhi nelayan sama ada untuk turun ke laut atau tidak.
Barang kali konsep aktivis alam sekitar yang ditaja oleh kumpulan geografi ini kurang disenangi oleh seorang lagi ahli sains sekular. Beliau cuba membawa konsep 'posiblelis' yang mengatakan manusia tidak bergantung kepada alam sekitar, tetapi pandangan dan sikap manusia yang mengubah alam sekitar bagi kepentingan manusia itu sendiri.
Justeru, apa yang jelas dalam sains sekular ialah manusia dan alam adalah komponen yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Manusia juga dianggap sama seperti benda lain dan nilai manusia itu juga sama seperti batu, ikan, pokok dan segala lain yang wujud di alam ini.
Kemuncak daripada konsep saintis sekular ini ialah apabila Charles Darwin mengeluarkan Teori Evolusi, yang mengatakan manusia itu berasal daripada mawas, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Teori ini terus dikembangkan di seluruh dunia oleh pengikutnya dengan pelbagai hujah yang bukan saja lemah, bahkan disanggah oleh ahli saintis sekular Barat.
Pada pandangan Islam, manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah, tetapi manusia mempunyai taraf yang lebih tinggi berbanding makhluk lain. Sementara asal usul manusia itu bermula daripada manusia pertama yang diciptakan Allah, iaitu Nabi Adam, dan bukannya jelmaan daripada makhluk lain, Allah juga menyatakan dengan jelas tujuan manusia dicipta, iaitu sebagai khalifah di bumi. Hakikat ini dapat dilihat dalam firman-Nya yang bermaksud : "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Sesuai dengan kejadian manusia itu dicipta sebagai khalifah di bumi, maka Allah yang Maha Pencipta bukan saja mencantikkan kejadian manusia itu, malah menganugerahkan nikmat akal untuk membezakannya daripada makhluk lain. Dengan akal dan berpandukan pula ajaran Islam yang syumul lagi lengkap, maka peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah tentunya besar dan berat. Ia bukan hanya sekadar menyempurnakan tanggungjawab terhadap Penciptanya saja, iaitu Allah, malah bertanggungjawab terhadap hubungannya sesama manusia dan alam sekitar.
Pendeknya, Islam meletakkan keseluruhan tanggungjawab ini di bawah satu peranan umum iaitu pengabdian yang sepenuhnya, hanya kepada Allah. Firman-Nya, bermaksud:
"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu (Allah)." (Surah az-Zarriyat, ayat 56).
Oleh itu, pemikiran yang dianut oleh mereka yang mengatakan kehidupan manusia tidak mempunyai matlamat dan tujuan tertentu, adalah salah. Tidak kira sama ada ia berpandukan ajaran Islam atau sains sekular, masing-masing mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Tetapi matlamat dan tujuan itu tentunya tidak sama. Bagi seorang materialis, kehidupannya adalah berdasarkan kepada fahaman kebendaan manakala bagi seorang sosialis pula, dia akan cuba menekankan konsep kesamarataan dalam masyarakat. Bagi seorang kapitalis pula, dia akan berusaha memungut keuntungan semaksimum mungkin, hasil daripada sistem yang diciptanya sendiri. Pendek kata, setiap manusia atau masyarakat itu mempunyai matlamat dan tujuan tertentu.
Malangnya, matlamat dan tujuan itu diseleweng dan disalah tafsir mengikut hawa nafsu dan demi mementingkan kehidupan duniawi semata-mata. Mereka beranggapan ilmu yang dimiliki mampu untuk menguasai manusia dan dunia serta apa saja yang mereka hajati.
Dari aspek lain pula, pendukung sekularisme berpandangan bahawa, agama dan kehidupan duniawi adalah sesuatu yang perlu dipisahkan. Bagi mereka, segala bentuk kepercayaan agama yang membawa kepada ketaatan kepada Allah serta memelihara batasan syariah adalah terhad kepada amalan peribadi saja manakala perkara umum yang membabitkan kehidupan manusia secara keseluruhannya, perlu diatasi dengan kekuatan kebendaan semata-mata.
Sebaliknya, Islam mengajar penganutnya yang juga khalifah di bumi ini, supaya dapat mengimbangi kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat sewajarnya. Di samping menganjurkan umatnya supaya beramal sebagai bekalan pada akhirat, Islam tidak pernah pula melarang umatnya daripada berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia. Yang berbeza adalah kaedah yang disarankan oleh Islam untuk berusaha bagi mencapai kesejahteraan itu.
Bagi khalifah Allah di bumi ini, di antara inti pati tugas yang perlu dilaksanakannya ialah merealisasikan kaedah itu. Ini kerana asas kepada pembangunan tamadun manusia yang hakiki bermula daripada cara hidup yang dianjurkan oleh Islam dan hanya Islam yang mampu untuk memakmurkan dunia ini sebaik-baiknya.
Abu Bakar Yang
Pegawai Penyelidik, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Berita Harian
No comments:
Post a Comment