Pages

Saturday, January 22, 2011

Menuntut ilmu jalan menuju syurga

Ilmu ialah pengetahuan (maklumat) yang merupakan lawan kepada ketidaktahuan atau kejahilan. Ilmu secara syarie adalah ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang berupa penjelasan dan petunjuk yakni al-Quran, as-Sunnah dan kefahaman yang benar terhadapnya. Iaitu ilmu yang membimbing kehidupan di dunia hingga ke akhirat.

Ilmu bermanfaat pula merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Taala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-Husna) dan sifat-sifat-Nya mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengagungan, rasa takut, cinta, harapan, sabar, reda dan tawakal hanya kepada Allah.

Keduanya, ilmu yang bermanfaat membawa kepada segala apa yang diredai dan dicintai Allah. Melalui ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa dibenci dan dilarang oleh-Nya. Ini adalah sebagaimana yang disebut al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) dalam risalahnya yang berjudul Fadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf.

Dari sini menunjukkan adanya ilmu yang tidak bermanfaat bagi diri seseorang, iaitu apabila ilmu tersebut tidak membawa untuk taat dan bertakwa, sebaliknya membawa pula kepada apa yang dibenci oleh Allah SWT.

Ini juga berdasarkan kefahaman terhadap firman-Nya (yang bermaksud): “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56). Maka, atas sebab itulah setiap ilmu yang kita pelajari seharusnya menuju kepada jalan tersebut, iaitu jalan ubudiyyah kepada Allah SWT.

Apabila memahami hakikat ini, sudah seharusnya kita meletakkan usaha dan prioriti yang tinggi untuk menekuni ilmu-ilmu tersebut. Itulah yang merupakan tradisi ulama dan ilmuwan Islam dari dahulu hingga kini.

Jika kita melihat Imam asy-Syafie rahimahullah - imam yang kita ikuti mazhabnya sebagai pedoman, beliau hafaz dan menguasai al-Quran seawal usianya sembilan tahun. Manakala dalam sebahagian riwayat mengatakan tujuh tahun. Pada ketika usianya 13 tahun pula, beliau menguasai kitab hadis yang unggul pada zamannya, iaitu al-Muwaththa’ karya Imam Malik rahimahullah. Jika kita bandingkan dengan usia kanak-kanak di sekitar kita hari ini, pada usia tersebut kebanyakan mereka masih lagi membaca al-Quran dengan merangkak atau mungkin ada yang masih tidak tahu walaupun untuk mengeja. Bahkan kebanyakan mereka mungkin lebih seronok dibuai khayalan kartun Doraemon, Sin Chan, Sponge Bob, Naruto dan Ben10 sambil memeluk bantal busuk.

Demikianlah keadaannya, ketika ilmuwan-ilmuwan itu menyibukkan umur-umur mereka dengan al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW, sebahagian kita ada yang lebih gembira untuk memilih kartun, muzik, dan permainan video sebagai santapan rohani anak-anaknya.

Sehingga masuk ke sekolah dan universiti pun kita lebih risau jika anak-anak gagal dalam peperiksaan dan tidak meraih peluang pekerjaan yang lumayan. Tetapi amat jarang sekali risau sekiranya anak-anak tidak bersolat dan gagal memahami aqidah benar.

Sebenarnya kita perlu sentiasa membudayakan tradisi ilmu yang ditinggalkan oleh ulama-ulama. Lebih-lebih lagi untuk menangkis syubhat-syubhat yang dihantar oleh musuh-musuh Islam melalui muzik, kartun, massa, pemakanan dan pelbagai bentuk lainnya yang hebat melanda ketika ini, iaitu dengan menghidupkan budaya membaca, memahami, dan menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW.

Berapa ramai di antara kita yang menempatkan buku-buku ulama di rumah-rumah sebagai bahan bacaan dan rujukan, sama ada dari rangkaian kitab-kitab aqidah seperti Syarah ath-Thahawiyah oleh Ibnu Abil Izz, Syarhus Sunnah Imam al-Barbahari, Syarah Ushulus Sunnah Imam Ahmad, dan selainnya dari kitab-kitab ilmuwan generasi awal. Diikuti pula kitab-kitab tafsir al-Quran seperti Tafsir Ibnu Katsir dan kitab-kitab hadis seperti Riyadhus Sholihin Imam an-Nawawi, asas-asas Mustholahul Hadis, sehinggalah kepada rangkaian kitab-kitab hadis yang utama seperti Shohih al-Bukhari, Muslim, serta siri kitab-kitab syarahannya.

Jangan biarkan anak-anak memenuhi rohaninya dengan majalah artis dan bintang bola, komik-komik, atau surat khabar-surat khabar yang sering bermain isu. Sehingga risalah hadis 40 (al-Arba’in an-Nawawiyyah) pun terasa janggal untuk dibelek sampai ada yang tidak pernah mengetahui kewujudannya. Bimbinglah mereka untuk mengenali ulama-ulama dan karya-karyanya.

Jangan biarkan tokoh-tokoh jalanan lebih kita kenali berbanding tokoh-tokoh ulung agama ini. Kerana ilmu yang bermanfaat itu hanya dapat diperoleh dengan menekuni warisan tinggalan ulama berupa aqidah dan akhlak peribadi mereka melalui karya-karya agungnya yang berisi penjelasan al-Quran dan as-Sunnah.

Atas sebab itulah Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi dan para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Melalui ilmu darjat seseorang beriman diangkat Allah, jiwa menjadi bahagia dan tenteram, dengan ilmu kita diberi kefahaman menghadapi pelbagai ujian dan cabaran, ilmu mengajak untuk memilih kebaikan berbanding keburukan, dengannyalah juga kita dibimbing untuk berjalan menuju syurga Allah yang luas terbentang. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak terhenti sekadar di dunia, ilmu bermanfaat ini pahalanya akan terus kekal mengalir walaupun ditinggal mati. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalan-amalannya melainkan tiga perkara, (iaitu) 1 – Sedekah jariah yang pernah dilakukannya, 2 – Ilmunya yang dimanfaatkan, atau 3 – Anak soleh yang mendoakannya. (Hadis Riwayat Muslim)

Selain dalil ini, terdapat dalil-dalil lain yang menyebutkan bahawa amalan kebaikan anak-anak yang soleh juga turut mengalirkan pahalanya kepada ibu dan bapa yang telah meninggal dunia walaupun tidak pernah diadakan ritual-ritual khas sedekah pahala seperti tahlil dan Yasin.

Jadi, manfaatkanlah umur yang ada untuk menyuburkan budaya ilmu dan mendidik anak-anak dengannya. Kerana dengan membudayakan ilmu yang bermanfaat, ia membantu meraih keredaan Allah SWT sekali gus jalan menuju syurga yang kekal abadi.

Sebagai penutup, penulis tinggalkan dengan pesanan Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H), “Kita memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah SAW dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan daripadanya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku.” Jauhilah syubhat pemikiran ahli falsafah, perbuatan ahli sufi, ajaran para pendeta, dan khayalan orang-orang yang suka menyendiri. Seluruh kebaikan itu adalah dengan mengikuti jalan yang lurus. Mintalah pertolongan kepada Allah. Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan-Mu yang lurus.” (Siyar A’lam an-Nubala’, 19/339-340) Wallahu a’lam...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here