Pages

Monday, February 14, 2011

Amalan tahyul

 
Pengamalan tahyul di kalangan orang Melayu telah diwarisi sejak turun temurun malah ia sinonim dengan amalan sesetengah masyarakat di Indonesia. Meski jelas bertentangan dengan hukum syarak kerana ia menyekutukan Allah namun perbuatan ini berakar umbi dalam jiwa pengamalnya.

Tujuan ilmu pengasih yang diamalkan oleh lelaki mahupun wanita adalah untuk menampilkan wajah cantik atau menundukkan orang lain. Maknanya apabila bertentangan mata dengan si pengamal tidak semena-mena jatuh kasih ataupun lemah hati.

Dalam sesetengah kes ia diamalkan untuk menguasai seseorang di mana perkataan yang terucap keluar akan menimbulkan belas atau kekaguman si pendengar.

Ilmu pengasih yang diamalkan oleh isteri supaya suami bertambah kasih dinamakan tilawah.

Masyarakat Melayu mengenalinya sebagai nasi tangas. Akibatnya suami seperti orang bodoh dan menurut apa sahaja kehendak isteri.Lazim perkara ini dilakukan oleh isteri yang cetek agama dan jahil tentang hukum haram mengenai perbuatan kufurnya itu.Susuk, antara ilmu sihir untuk menampilkan wajah awet muda, cantik menawan dan kebal.

Menurut pakar perbidanan tradisional, Oomi Jannah, susuk cukup terkenal di kalangan wanita yang enggan menerima hakikat kejadian manusia itu cukup indah di mata pencipta-Nya.

``Memang ada wanita moden yang masih mengamalkan pemakaian susuk walaupun tahu kesan yang akan dialami,'' katanya.

Kumpulan ini sebenarnya malas berusaha mengekalkan kecantikan sebaliknya inginkan serba menawan dalam sekelip mata.
Susuk dikategorikan dalam amalan sihir berupa bahan-bahan logam seperti jarum, serbuk emas, jarum tembaga, intan atau berlian dimasukkan ke dalam wajah atau tubuh yang disertai dengan jampi mantera tanpa mencederakan si pemakai.

``Selalunya untuk mencantikkan wajah, susuk ditanam di bahagian pipi, dagu ataupun bibir.

``Ada juga yang dimasukkan ke bahagian payu dara dan alat sulit atas tujuan mengikat nafsu suami daripada `makan luar','' katanya.

Susuk menaikkan seri lazim diamalkan oleh golongan bangsawan dan artis wanita. Lelaki pula memilih susuk untuk kebal, berani, tahan dipukul atau mampu mengalahkan lawan dengan mudah.

``Susuk diikat pantang larang, andai melanggarnya si pemakai akan mendapat wajah yang lebih hodoh daripada asal.

``Saya pernah menyaksikan azabnya seorang wanita yang memakai susuk untuk mengawal suami. Nazaknya ketika menghampiri maut terlalu seksa dan pedih,'' ceritanya.

Ia lebih mengharukan dan suasana kelam-kabut kerana bomoh yang memakaikan susuk telah pun meninggal dunia.

``Perkara aib begini seharusnya tidak berlaku di kalangan orang Islam,'' tegasnya kesal.

Oomi Jannah tidak menafikan, di kalangan artis paling popular untuk mendapatkan perkhidmatan susuk. Namun ilmu susuk tidak dipelajarinya dan selalunya beliau menyarankan wanita mandi bunga.

``Jangan sesekali menjadikan penyebab mandi bunga seseorang itu akan kelihatan cantik atau akan bertemu jodoh.

``Tujuan mandi bunga adalah untuk mengeluarkan aroma yang terdapat di dalam bunga dan sekali gus menyegarkan tubuh.''

Apabila segar, katanya, penampilan lebih meyakinkan dan ceria apabila berkomunikasi atau bertemu dengan orang.
Setiap bunga mempunyai keistimewaan aroma tersendiri. Seperti bunga melur tambahnya, mempunyai semangat pengantin baru dan mengeluarkan haruman semerbak.

``Wangian melur dapat menaikkan nafsu syhawat pengantin. Begitu juga cempaka dan tanjung, aromanya begitu memikat. Kita bukan percaya kepada bunga kerana ia syirik tetapi ambil baunya untuk haruman tubuh,'' pesannya.

Beliau menasihatkan untuk mengekalkan kecantikan, tadah air embun malam Jumaat dan sapukan ke wajah, dibuat air mandi ataupun minuman.

``Kalau mahukan wajah sentiasa cantik amalkan surah Yusuf setiap malam.

``Sebagai pendinding pula bacalah sebelum dan bangun tidur selawat 21 kali ke atas nabi, Al-Fatihah, surah al-Ikhlash, An-Naas dan al-Falaq. Insya-Allah jika terkilas pun ilmu sihir mampu ditepis,'' sarannya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here