Artikel ini artikel biasa sahaja. Namun lahir daripada pengalaman sebenar. Ada positifnya di situ lalu suka saya kongsikan dengan semua ahli Scripters. Mungkin ada pro dan kontranya tapi takpe kerana itu adalah asam garam dalam perbincangan.
Seronoknya apabila kita membersihkan kawasan sekeliling rumah bersama suami dan anak-anak. Anak-anak pun akan merasa seronok kerana kita memberikan mereka tugas. Dengan penuh gembira mereka akan melaksanakan kerja-kerja tersebut. Tidak kiralah anak yang kecil atau yang besar.
Aktiviti sebegini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Apabila kita libatkan mereka, jauh di sudut hati mereka merasa bangga dan merasa ibu bapa menghargai kehadiran mereka. Kalau kita lihat, kebanyakan ibu bapa selalunya memarahi anak-anak jika menghampiri mereka semasa membuat sesuatu seperti memasak, dan membersihkan rumah.
Maka anak-anak itu akan dihalau (disuruh pergi ke tempat lain) dengan ayat-ayat lazim seperti , "Pegi le kat sana. Jangan kacau mama buat keje." ataupun " Apa ni banyak tanya. Jangan ganggu ayah la. gi sana tu. Ayah banyak keje ni."...Dan yang pasti anak-anak akan terluka dengan jawapan yang sebegitu. Dan tidak mustahil pula satu hari nanti anak itu akan menuturkan, " Alaaa mama ni..saya busy ni. Banyak keje nak buat. Nanti-nanti je le." ataupun " Apa ayah ni!? Orang sibuk la. Banyak keje. Jangan le ganggu." Kalau dah begini, slaah siapa sebenarnya?
Tidak dinafikan anak-anak akan bermain semasa membuat kerja. Menyelam sambil minum air. (Kita yang dewasa pun suka buat macam tu.) Mungkin juga kita risaukan bahaya seperti haiwan berbisa atau benda-benda yang tajam. Namun, kita harus memantau mereka. Mereka akan mempelajari perkara-perkara baru yang pastinya menjadi pengalaman yang seronok mereka kongsikan dengan rakan-rakan mereka.
Apa-apa hal sekalipun, sebagai ibu bapa kita tidak seharusnya membelakangkan anak-anak kerana jika kita membelakangi mereka maka satu hari nanti kita akan dibelakangi pula. Pada masa itu, mulalah kata anak itu derhaka. Tidak kira anak lelaki atau anak perempuan, biarlah mereka merasa dekat dengan kita. Memang penat melihat mereka "bersilat" dan penat mendengar mereka "berceloteh" tapi itulah sebenarnya pengubat keletihan kita. Senyuman mereka itu akan membuatkan kita rasa tenang.
Kita harus memberikan anak-anak kita peluang agar satu hari nanti kita diberikan ruang dalam kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment