Pages

Wednesday, February 9, 2011

Buta Mata Hati

Al-'Arif billah al-Imam Ahmad bin 'Atoillah as-Sakandari (wafat 709 Hijrah) radhiyallahu 'anhu berkata menerusi hikam beliau:Kesungguhan anda dalam (mencari) perkara yang telah dijamin buat anda (iaitu rezeki) dalam keadaan anda mengabaikan perkara yang dituntut daripada anda (untuk dilakukan iaitu ibadah) adalah bukti bahawa mata hati anda telah buta.

Rezeki telah dijamin oleh Allah Ta'ala sejak kita berada di dalam rahim ibu lagi.Dalam sebuah hadith yang menceritakan tentang proses penciptaan manusia di dalam rahim, antara perkara yang disebutkan ialah apabila bayi telah sempurna ciptaannya lalu Allah Ta'ala mengutuskan satu malaikat yang bertugas untuk meniupkan roh ke dalam jasad bayi tersebut serta mencatatkan empat perkara iaitu rezeki, ajal, amalan dan statusnya sama ada bahagia atau celaka. Oleh itu rezeki telah dijamin. Cuma kita dituntut untuk mencarinya dan menggunakannya pada tempat yang betul serta membelanjakannya di jalan yang betul juga.

Namun sayangnya kebanyakan manusia lebih bersungguh-sungguh mencari rezeki yang telah pun dijamin sambil mengabaikan perkara yang sepatutnya dilakukan malah dituntut untuk dilakukan iaitu ibadah.
Kita dicipta oleh Allah Ta'ala untuk beribadah kepada-Nya. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
Aku (Allah) telah mencipta jin dan manusia hanya untuk beribadah kepada-Ku. [Surah az-Zaariyat: 56]
Kesungguhan manusia dalam mencari perkara yang telah dijamin di samping mengabaikan ibadah yang wajib merupakan bukti bahawa mata hatinya telah buta. Ini adalah kerana dia bersungguh-sungguh untuk mencari perkara yang telah dijamin seolah-olah dia merasa ragu-ragu bahawa rezeki itu akan lari. Perkara yang telah dijamin tidak akan ke mana apatah lagi yang menjaminnya adalah Allah Ta'ala Tuhan sekelian alam. Sudahlah dia merasa ragu dengan jaminan Allah Ta'ala, dia melakukan kesalahan yang kedua pula iaitu meninggalkan kewajipan beribadah kerana terlalu asyik mencari rezeki. Ini adalah bukti bahawa mata hatinya telah buta daripada melihat Tuhan Yang Memberi Rezeki dan Menjaminnya kerana serpihan-serpihan kaca nafsu duniawi telah membutakan mata hatinya. Dia hanya melihat rezeki dan kemampuan dirinya untuk mencari rezeki. Adapun Tuhan yang mengatur rezeki, dia tidak nampak lagi.
Orang yang telah buta mata hatinya sukar untuk mendapat hidayah. Mata hatinya yang buta membuatkan mata nafsunya menjadi celik. Mata nafsunya hanya melihat rezeki tanpa menghiraukan cara rezeki itu diperolehi. Cara halal atau cara haram. Bila mata nafsu menjadi celik, maka maksiat sewenang-wenangnya dilakukan. Ketika itu, dia semakin jauh daripada Allah Ta'ala.
Sebenarnya bukan pada rezeki saja,tetapi seluruh penghidupan kita dan kebanyakkan di kalangan kita dah banyak yang Buta Mata Hati dan keadaan sebegini sudah berlaku sekarang.Selain tidak menerima pendapat,ada juga yang jahil dan dungu bersuara untuk menegakkan benang yang basah.
Konklusinya, kita mesti meyakini bahawa rezeki kita telah pun dijamin oleh Allah Ta'ala. Kita dituntut untuk berusaha mencari rezeki dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan kewajipan beribadah. Oleh itu, kita telah menghimpunkan dua sifat terpuji iaitu usaha dan tawakal. Inilah rahsia kekuatan para hamba Allah yang soleh.
Wallahu a'lam.

p/s: Buta mata masih ada yang sudi membantu. Buta hati tiada siapa boleh membantu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here