Pages

Friday, September 30, 2011

APAKAH HUKUM HUDUD YANG SEBENARNYA, AZIZ?


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
APAKAH HUKUM HUDUD YANG SEBENARNYA, AZIZ?
02 Dzu al-Kaedah 1432 / 30 September 2011
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Aziz Jamaluddin Mhd Tahir yang menyatakan masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.” Bagi DPPM, kenyataan Aziz seperti menuduh PAS yang mencipta hudud, bukannya ia datang daripada hukum Islam.

Jika demikian, DPPM mencabar Aziz untuk membuktikan apakah Hudud yang sebenarnya. Sila bezakan antara Hudud yang diperjuangkan PAS dengan hudud yang diperintah Allah SWT untuk dilaksanakan. DPPM sanggup menyediakan Aziz ruang untuk menyampaikan maksud hudud sebenar seperti yang diperintah oleh Islam.


DPPM juga mempersoalkan, dimanakah bahagian dalam hukuman hudud yang direka oleh PAS dan di bahagian manakah yang datangnya dari perintah Allah SWT? Jika PAS memperjuangkan hudud untuk kepentingan politik semata-mata, mengapa tidak ada pihak lain seperti UMNO memperjuangkan syariat Islam  yang sebenar-benarnya? Mengapa YADIM sendiri tidak turut menyuarakan pentingnya Hudud serta syariat Islam dalam menyelesaikan masalah sosial dalam negara?

Aziz Jamaluddin perlu ingat bahawa Hudud adalah syariat Islam yang telah lama termaktub dalam al Qur’an dan Hadis. PAS hanya membawa kembali syariat Islam yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW ke zaman ini. Umat Islam di zaman sekarang telah lama melupai bahawa hudud serta syariat Islam pernah dilaksanakan. Hudud adalah penyelesaian terhadap masalah sosial yang berlaku sekarang.

Sepatutnya YADIM sebagai organisasi dakwah perlu menerangkan kepada umat Islam tentang syariat Islam yang sebenar. Umat Islam tidak harus dibiarkan dalam keadaan jahil terhadap syariat agamanya. YADIM tidak harus berdiam diri dalam isu ini, sebaliknya perlu membela golongan yang mahu melaksanakannya. Berdosa besar hukumnya bagi sesiapa yang menolak hukum Allah dilaksanakan, apatah lagi bagi mereka yang berilmu seperti YDP YADIM.

DPPM mengingatkan Aziz agar berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan. Menuduh PAS sebagai parti yang ‘gilakan kuasa memerintah’ dengan bahasa kiasan boleh mengguris ribuan penyokong PAS yang ramainya terdiri daripada golongan alim ulama’. PAS sanggup hilang kuasa demi Islam, sanggup kalah juga demi islam, tetapi PAS tidak sanggup menggadaikan Islam demi kepentingan politik sempit bagi meraih kemenangan dunia yang seketika!

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia


sumber:- http://pemuda.pas.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=415%3Aapakah-hukum-hudud-yang-sebenarnya-aziz&catid=37%3Akenyataan-media&Itemid=61 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here