Pages

Saturday, October 1, 2011

Hudud diterima jika faham konsep

PENGKALAN CHEPA- Hukum hudud akan dapat diterima dan dilaksanakan jika konsepnya benar-benar difahami semua tanpa mengira agama dan bangsa.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Ab Halim Ab Rahman berkata, isu penerimaan ini timbul apabila ada sebahagian kurang memahami hukum hudud sehingga timbul anggapan ia undang-undang yang kejam.

“Hudud tidak melibatkan orang bukan Islam, ia hanya untuk orang Islam, dan semua hukum Islam tidak akan dikenakan kepada orang bukan Islam, penjelasan tentang undang-undang Islam itu penting bagi memastikan ia benar-benar difahami seterusnya membantu proses pelaksanaannya.

“Bukan mereka tidak menerima tetapi mungkin disebabkan kurang memahami maksud di sebalik pelaksanaan hukum Islam itu menyebabkan timbul pelbagai spekulasi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri Parlimen Pengkalan Chepa di sini semalam. 


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, hudud bukan undang-undang Pas sebaliknya hukum syariat yang tidak boleh ditolak umat Islam.

Menurutnya, pelbagai langkah perlu diambil bagi menjayakan pelaksanaan hukum hudud ini termasuk mewujudkan akta-akta berkaitan selain jawatankuasa khas untuk memberi kefahaman kepada orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Pengkalan Chepa, Wan Noraini Wan Ibrahim berkata, senario masyarakat hari ini memerlukan kepada undang-undang Islam tersebut agar dapat mengurangkan kadar jenayah yang semakin berleluasa kini.

Menurutnya yang juga ahli jawatankuasa penaja Dewan Muslimat Pas Pengkalan Chepa, Muslimat Pas Kelantan mengharapkan agar undang-undang Islam termasuk hudud ini dilaksanakan demi kebaikan rakyat.

“Umum mengetahui masalah sosial di kalangan masyarakat amat membimbangkan, sekurang-kurangnya apabila hukum hudud ini dilaksanakan ia akan memberi pengajaran kepada semua,” katanya.

Katanya yang juga pengarah majlis sambutan Aidilfitri pada hari itu, agenda yang perlu dilaksanakan kini ialah memberi kefahaman kepada rakyat tentang konsep hudud seterusnya menepis salah tanggapan tentang hukum Islam berkenaan.

SUMBER:- http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story9582354.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here