Oleh Mustafa Ngah Mansor
Jampi serapah dilakukan khalifah elak perkara tidak diingini sepanjang persembahan
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum he tepung tawar tepung jati,
Aku tahu asal engkau mula menjadi,
Dijadikan Allah pada embun setitik,
Aku minta tawar sekalian yang biasa
ITULAH antara bait jampi yang lazim dipraktikkan dalam tarian dabus tradisional yang kini masih diamalkan di beberapa daerah di Perak. Ia dilakukan sebelum gong dipalu, diikuti alunan rebana yang terus mencuit hati penari tarian dabus yang tidak sabar untuk menari mengikut rentak bunyian peralatan muzik tradisional itu yang ‘tak lekang dek panas dan lapuk dek hujan’ di kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.
Peralatan muzik itu memainkan peranan penting sekali gus menjadi penyeri pada tarian dabus yang sudah berakar umbi di tiga kawasan iaitu Kampung Tanjung Bidara (daerah kecil Kampung Gajah), Bagan Datoh (daerah Hilir Perak) dan Pasir Panjang Laut (daerah Manjung).
Biarpun begitu, masih terdapat beberapa perkara menarik yang selama ini tidak diselongkar oleh mana-mana pihak dalam tarian dabus tradisional itu. Ia adalah unsur ritual seperti jampi serapah yang menjadi antara perkara utama bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang persembahan.
Mengikut catatan penggiat dabus, tarian itu mula bertapak di Perak sekitar 1785 dibawa pedagang Arab yang datang berniaga di Nusantara sambil memperkenalkan tarian dabus. Ketika berlaku persengketaan antara Perak dan Aceh, Megat Terawis, pahlawan Perak diperintah mengambil Puteri Limau Purut di Aceh dan membawa pulang bersama kesenian dabus.
Kesenian itu bertahan lama sehingga kini dan masih popular dan kerap dipersembahkan kepada umum melalui majlis keramaian seperti sambutan Hari Kebangsaan, majlis kebudayaan dan perkahwinan.
Seorang tokoh tarian dabus terkenal di Perak, Seteh Anjang Ria, 72, yang ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Bidara, Kampung Gajah, baru-baru ini, berkata jampi akan didahulukan sebelum membuat persembahan.
Seteh yang juga digelar khalifah tarian dabus, berkata bagi memperkuatkan keberkesanan jampi itu perlu disertakan dengan beberapa bahan penting iaitu kemiyan, bertih, beras kunyit, tepung tawar dan air penawar bisa (pemulih).
Kemiyan dibakar dalam sebuah bekas khas dinamakan ‘perasap’. Sebelum permainan bermula kemiyan diasapkan seluruh kawasan gelanggang. Peralatan seperti anak dabus dan penari turut diasapkan sebelum turun ke gelanggang untuk menari.
Bertih dan beras kunyit pula ditabur di kawasan gelanggang dengan harapan untuk menjauhkan daripada segala gangguan yang tidak diingini.
Tepung tawar dan air direnjis seperti menabur bertih dan beras kunyit. Alatan perinjis tepung tawar terdiri daripada daun khusus seperti daun kabung (enau), daun seputeh, daun setawar, daun sambar dan daun ati-ati hitam.
Daun-daun itu dirangkai dan diikat kemudian direndam dalam mangkuk berisi air untuk menawar bisa. Air itu bagi membasuh luka dan menawar bisa besi pada lengan penari akibat tikaman anak-anak dabus yang tajam.
Tikaman anak dabus pada lengan penari adalah kemuncak kepada tarian. Bagaimanapun, lengan penari terlebih dahulu disapu dengan air oleh khalifah. Ketika pertunjukan, anak dabus digenggam rapi dan hujungnya yang tajam hanya sepanjang kira-kira 0.6 milimeter ditikam pada lengan penari.
Tikaman dilakukan beberapa kali sehingga darah meleleh keluar daripada tempat tikaman dan pada ketika itu penari dalam keadaan sedar kemudian mereka menemui khalifah yang berada sama di dalam gelanggang untuk memulihkan luka-luka itu.
Khalifah memakai baju dan seluar panjang berwarna hitam serta memakai ikat kepala atau berpakaian biasa (berbaju batik).
Luka penari pulih dan mereka boleh menari semula selepas berehat. Ini bergantung kepada jumlah penari dan tempoh yang dihadkan kepada kumpulan itu untuk membuat persembahan.
Lebih menarik tarian dabus sudah mendapat tempat di hotel lima bintang terutama di Kuala Lumpur yang dipersembahkan sempena malam kebudayaan dan kesenian anjuran kerajaan dan badan kebudayaan terkenal. Di samping itu, ia juga untuk tontonan serta hiburan masyarakat majmuk Malaysia dan pelancong luar negara.
Seteh yang mengetuai Kumpulan Kesenian Seri Tanjung, Kampung Tanjung Bidara, Kampung Gajah bertekad untuk mengembang dan mengekalkan tarian itu kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Beliau yang menerima sijil penghargaan sebagai Tokoh Dabus Perak 2006 beranggapan penganugerahan itu sebagai keprihatinan dan minat yang tinggi kerajaan negeri terhadap kesenian dabus sebagai antara tarian utama Perak.
Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, dengan Seteh dapat dirumuskan bahawa tarian dabus menjadi kebanggaan rakyat di desa terutama di tiga daerah berkenaan sejak dulu hingga kini.
Seorang penari terkenal dalam kumpulan itu, Mohd Nasaruddin Sani, 48, mengakui tiada perasan gentar ketika menikam anak dabus di lengannya.
Mohd Nasaruddin yang terbabit dalam tarian dabus sejak berusia 12 tahun, berkata bunyi gong dan rentak pukulan rebana dabus dengan iringan nyanyian ahli kumpulan menggamit hati penari untuk mula membuat persembahan.
Bagaimanapun, sebelum itu semua penari perlu diasapkan oleh khalifah sebagai ikhtiar untuk mengelakkan bencana menimpa penari.
“Sepanjang tempoh terbabit dalam tarian dabus, belum pernah berlaku perkara tidak baik pada diri saya. Saya bersyukur,” katanya.
Fatimah Seteh, 41, anak kepada khalifah dabus, Seteh turut memperakui tarian dabus satu-satunya tarian tradisional memerlukan komitmen penarinya.
Penari tidak boleh menari sebarangan tanpa restu khalifah. Kemungkinan dilanda bencana apabila ingkar perintah dan melanggar pantang larang.
Antara pantang larang yang sangat dipegang oleh ahli kumpulan ialah anak dabus tidak boleh ditikam ke tempat lain seperti perut dan kepala kecuali pada lengan saja.
Semua anak dabus tidak boleh dilangkah dan hanya ahli kumpulan saja yang dibenarkan memegang anak-anak dabus.
Seteh yang menjadi khalifah sejak lebih 20 tahun lalu adalah tokoh dabus yang terkenal di Perak.
Beliau mengetuai kumpulannya membuat persembahan di hotel lima bintang di Kuala Lumpur, majlis rasmi kerajaan negeri dan pusat serta pernah membuat rakaman radio dan televisyen.
Tarian dabus bertahan lama kerana perkembangannya berasaskan keturunan. Seteh adalah generasi yang keempat mengetuai kumpulan itu masih utuh dan aktif membuat persembahan sehingga kini.
Beliau sudah menyediakan pelapis terdiri daripada anak-anaknya termasuk Fatimah. Fatimah pula sudah melatih anaknya sendiri sebagai penari. Mereka masih di bangku sekolah berusia antara sembilan dan 14 tahun.
Seteh berkata, jika seseorang itu bukan di kalangan keluarga penggiat dabus sukar untuk mengendalikan tarian itu kerana ia mempunyai pakej khalifah, pemalu gong, pemukul rebana dan penari.
“Ada juga pihak tertentu di luar keluarga tarian dabus cuba membuat persembahan, tetapi hasilnya kurang menjadi,” katanya.
Tokoh tarian dabus itu berazam memartabatkan tarian dabus sebagai wadah kesenian Melayu yang perlu dikekalkan dan terus disemarakkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kumpulannya kini menunggu tawaran daripada pihak penaja untuk membuat persembahan tarian dabus dalam satu perayaan di Perancis.

No comments:
Post a Comment