Pages

Tuesday, February 22, 2011

Misteri: ‘Naik seh’ akibat diresap semangat kuda kepang

Oleh Mohd Roji Abdullah


Dua penonton tidak sedarkan diri bersawai dan menari ikut rentak, alunan mujzik dimainkan

SEBAIK saja alunan muzik bergema, kelihatan sekumpulan penari yang memakai pakaian berwarna-warni mula mengatur gerak mengikut irama bersama replika kuda yang mereka kepit.

Ketika itu, gerak langkah penari cukup teratur membuat penulis berbisik kepada jurugambar, Shahrul Zaman M Zain, memberitahunya kemungkinan tarian kuda kepang yang diadakan di pekarangan sebuah rumah di Kampung Sungai Nibong, Semerah, Batu Pahat, itu sekadar persembahan biasa, seperti yang sering kita lihat pada majlis rasmi kerajaan atau parti politik.

Selang lima minit persembahan, penari kelihatan begitu asyik menari mengikut alunan irama angklung bersama pukulan gendang dan jidot (sejenis rebana) dan tiada tanda-tanda akan berlaku aksi luar biasa seperti yang pernah didengar daripada beberapa rakan sebelum ini.

Namun sangkaan penulis meleset, sedang asyik melihat gerak tari yang begitu tersusun selain sekali-sekala dikejutkan bunyi cemeti yang disebat oleh ketua penari ke tanah, tiba-tiba seorang penari rebah dengan mata terpejam dan tubuhnya seolah kejang.

Ketika itu, penulis terfikir kemungkinan penari itu pengsan kerana melihat usianya yang agak lanjut, namun Ketua Kumpulan Kuda Kepang Sinar Warisan, Kampung Sungai Nibong, Naim Marjani, 65, atau lebih dikenali sebagai Wak Naim, berkata aksi sebenar kuda kepang sudah bermula.

Tidak lama selepas itu, penari yang pengsan sebentar tadi tiba-tiba bangun dengan keadaan bersawai dan berjalan terhuyung-hayang keliling gelanggang, namun langkah kakinya tetap menari mengikut rentak irama muzik.

Ketika tumpuan terarah kepada penari yang sedang bersawai itu, tiba-tiba orang ramai dikejutkan apabila dua penonton pula jatuh daripada kerusi masing-masing lalu tidak sedarkan diri.

Selang beberapa minit, dua penonton itu bangun semula, namun mereka juga dalam keadaan bersawai dan mula menari mengikut alunan irama muzik.



Bomoh atau dikenali sebagai ‘pengawal’ dalam persembahan kuda kepang itu memberi mereka makan bunga kenanga dan kemenyan kepada dua penonton yang turut ‘naik seh’ itu.

Ketika persembahan semakin rancak, penari utama dan dua penonton itu mula melakukan pelbagai aksi luar biasa antaranya mengopek kelapa dengan gigi kemudian memecahkan tempurung dengan tangan.

Penari utama itu pula memijak kaca yang diletakkan di tengah gelanggang dan kemudian berbaring di atas serpihan kaca itu sambil dipijak oleh beberapa penari lain.

Menakjubkan kerana penari bertubuh kurus itu mampu bertahan dipijak beberapa penari lain sekali gus, selain tubuhnya langsung tidak mengalami kecederaan walaupun berbaring di atas serpihan kaca.

Apabila persembahan sampai ke kemuncaknya, pengawal memegang penari dan penonton yang tidak sedarkan diri itu untuk memulihkan mereka.

Penulis kemudian cuba mendapatkan penjelasan daripada Wak Naim, mengenai ‘kejadian menakjubkan’ yang berlaku kepada penari serta dua penonton itu dan katanya mereka bersawai kerana dia diresap semangat kuda kepang dan ia berlaku kerana dia terlalu asyik atau memberi tumpuan sepenuhnya kepada irama muzik serta tarian.

"Sebenarnya, sesiapa saja boleh diresap semangat itu, jika mereka asyik dengan alunan bunyi muzik. Biasanya ia berlaku terhadap mereka yang mempelajari ilmu kuda kepang, tetapi kadangkala ada juga penonton yang tidak pernah mendekati kuda kepang akan turut diresap semangat itu," katanya.

Wak Naim berkata, mengikut mitos lampau masyarakat Jawa, permainan kuda kepang asalnya hanya permainan anak-anak muda gembala lembu dan kambing di tanah Jawa.

Mereka dikatakan cuba menghilangkan kebosanan sementara menunggu haiwan peliharaan meragut rumput di padang dengan bermain kuda yang dianyam daripada daun kelapa.

Ketika asyik menunggang ‘kuda’ dan menari mengikut alunan muzik yang diketuk oleh rakan yang lain, kumpulan gembala itu didatangi seorang lelaki tua yang tidak ketahui dari mana asalnya.

Melihat anak-anak muda itu begitu asyik bermain, orang tua itu ‘menyakat’ mereka dengan membaca jampi serapah menyebabkan mereka tidak sedarkan diri lalu menari dalam keadaan khayal sambil menunggang kuda yang diperbuat daripada daun kelapa itu.

Sejak itu, masyarakat Jawa yang kebanyakannya bekerja sebagai petani menjadikan permainan kuda kepang sebagai hiburan pada waktu malam untuk melepaskan penat selepas sehari suntuk bekerja di ladang.

Wak Naim, berkata jampi serapah yang dibacakan oleh orang tua dalam mitos itulah yang ‘menghidupkan’ permainan kuda kepang hingga hari ini.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua ahli kumpulan kesenian itu yang tahu jampi mantera bagi menghidupkan permainan itu, malah beliau sendiri yang berkecimpung dalam kesenian itu sejak lebih 30 tahun lalu juga belum layak membaca jampi serapah itu.

"Orang tertentu saja layak membacanya sebelum permainan bermula iaitu bomoh yang sudah diperturunkan ilmu itu, yang lain termasuk saya hanya mempersembahkan tarian kuda kepang saja" katanya.

Wak Naim berkata, permainan itu memerlukan ketelitian menyeluruh bermula daripada pembuatan peralatan termasuk kuda dan cemetinya, penubuhan kumpulan sehinggalah ketika hendak memulakan persembahan.

Beliau berkata, kuda yang mereka gunakan untuk persembahan diperbuat daripada kulit lembu, bukan anyaman buluh seperti yang lazim kita lihat.

Cemeti atau dalam bahasa Jawa dipanggil pecut yang digunakan ketua penari ketika membuat persembahan pula disediakan oleh mereka yang pakar saja.

Sebelum penubuhan sesebuah kumpulan kuda kepang, beberapa syarat ketat perlu dipatuhi orang penting dalam kumpulan itu termasuk bomoh yang bertanggungjawab memastikan permainan berjalan lancar.

Antara syarat yang ditetapkan sebelum kumpulan itu ditubuhkan ialah seseorang itu perlu berpuasa, pada malamnya pula mereka perlu melalui upacara ‘pategeni’ iaitu tidak boleh tidur.

Beliau berkata, semua syarat yang ditetapkan itu perlu dilaksanakan bermula bulan Muharam dan berlanjutan untuk tempoh enam bulan.

Ketika mengadakan persembahan, setiap kumpulan biasanya dianggotai sembilan penari, 15 pemuzik dan beberapa ‘pengawal’ iaitu bomoh serta pembantunya.

Namun, punca sebenar penari boleh melakukan aksi luar biasa dalam keadaan bersawai tetap menjadi misteri kerana Wak Naim, berkata ia antara seni kuda kepang tulin yang sukar untuk diterjemahkan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here