Pages

Saturday, February 5, 2011

Solat tahajjud: Apakah perlu tidur dahulu?

Firman Allah Taala: 
"Hendaklah engkau gunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajjud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukkan yang baik." (al-Isra':97) 
Sabda Rasulullah s.a.w.: 
"sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam." (riwayat Muslim) 
Terlalu banyak fadilat dan kelebihan sembahyang tahajud. Ini kerana tahajud merupakan suatu amalan yang sukar dilakukan. Walaupun bilangan rakaatnya (paling kurang) hany dua sahaja tetapi tidak semua orang mampu melakukan. Apatah lagi waktunya adalah pada waktu malam dan selepas tidur. oleh itu Allah dan RasulNya menjanjikan ganjaran yang besar terhadap mereka yang sanggup melepaskan selimutnya semata-mata untuk mengerjakan tahajjud. 

Jawapan(2)
Definasi tahajjud: Sembahyang sunat pada waktu malam selepas tidur (Rujuk definasi ini pada kitab-kitab mazhab Syafi'i) 
Hukum tahajjud:
Waktu mengerjakan tahajjud: Selepas Isyak & selepas tidur.  Dan, yang paling afdal ialah mentakhirkan sembahyang ini. 
Menurut Imam al-Nawawi di dalam Minhaaj al-Thalibin, makruh mengerjakan sembahyang tahajud seluruh malam secara berterusan (Berjaga setiap malam mengerjakan tahajud).  Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan perkataan al-Nawawi dengan katanya: "Makruh mengerjakan tahajud pada waktu malam yang dapat memudaratkan. Dari itu berjaga utk bertahajud seluruh malam setiap hari tergolong dalam kategori ini. Alasannya ialah, sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim: 
Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Abdullah bin Amru bin al-Ash: Tidakkah aku diberitahu bahawa engkau berpuasa disiang hari dan berdiri (solat) diwaktu malam? Abdullah menjawab: Bahkan wahai Rasulullah. Baginda s.a.w. bersabda: Jangan lakukan. Berpuasalah dan berbukalah. Berdirilah (malam & bersolat) dan tidurlah. Sesungguhnya jasadmu juga mempunyai haknya.....al-hadis."
Al-Khatib al-Syarbini menyambung lagi: "Kerana berjaga malam secara berterusan dapat memudaratkan tubuh badan. Ia juga menyebabkan seseorang itu tidak dapat berjaga pada waktu siang. Ini akan membuatkan maslahat dunia dan agamanya pada waktu siang terlepas." (Al-Mughni al-Muhtaj, vol 1, halaman 228) 
Dimakruhkan juga mengkhususkan malam Jumaat untuk mengerjakan Tahajud. Maksudnya, kita mengkhususkan sembahyang tahajjud hanya pada malam Jumaat sahaja. 
Orang yang hendak bertahajud disunatkan ber'qailulah'. Iaitu tidur sedikit sebelum tergelincir matahari. Qailulah samalah seperti sahur untuk orang yang berpuasa. Sabda Rasulullah s.a.w: 
"Mintalah pertolongan dari qailulah untuk berdiri (solat) pada waktu malam." 
Maknanya, qailulah dapat membantu untuk tahajud. 
Bilangan rakaat tahajud: Sekurang-kurangnya dua rakaat dan sebanyak-banyaknya tiada had. Tetapi ada pendapat lain yang mengatakan, sebanyak-banyaknya 12 rakaat (rujuk Fathul Mu'in, bihamish I'anah al-Thalibin, vol 1, hal. 269) 
(3)
  Tahajud: perlu tidur dahulu atau tidak? 
Sebagaimana penjelasan di atas, bahawa definasi tahajud sahaja sudah menggambarkan ia hendaklah dikerjakan selepas tidur. 
Jika begitu sudah tentu akan timbul satu persoalan lain--> Jika saya tidak tidur (kerana sebab-sebab tertentu), bermakna saya tidak dapat melaksanakan tahajud. Akan terlepaslah saya dari memperolehi fadilat tahujud yang besar itu... 
Penyelesaiannya begini --> Terdapat beberapa solat yang dikategorikan di dalam 'sembahyang malam'. Iaitu sembahyang witir, sembahyang tahajud dan sembahyang sunat mutlak waktu malam. 
Sembahyang sunat mutlak waktu malam: Sembahyang sunat mutlak ialah sembahyang yang dikerjakan tanpa sempena apa-apa. Niatnya, "sahaja aku mengerjakan sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala."
Sembahyang ini juga tidak kurang besar fadilatnya. Saya nukilkan lagi secara bebas tentang kelebihan dari kitab Sabilul Muhtadin, vol 2, hal. 19, 20 & 21: 
Sembahyang sunat mutlak pada waktu malam lebih afdal dari sunat mutlak waktu siang. 
Sabda Rasulullah s.a.w. : 
"Sembahyang yang paling afdhal selepas sembahyang fardu ialah sembahyang  (sunat) malam." 
Sabdanya lagi: 
"Sesungguhnya pada waktu malam ada satu saat di mana tidak dapat oleh seorang lelaki Islam yang memohon kepada Allah akan kebaikan utk urusan dunia dan akhiratnya, melainkan akan diperkenankannya. Saat itu ada pada setiap malam." 
Maksudnya, setiap malam ada saat yang dinamakan saat ijabah. Setiap doa yang dipohon pada saat itu akan diperkenankan. 
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai sembahyang yang paling afdal selepas sembahyang fardu, baginda menjawab: 
"Sembahyang pada tengah malam." 
Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: 
"Sembahyang yang paling Allah Taal paling suka ialah sembahyang Nabi Allah Daud a.s., dia tidur pada separuh malam, dia bersembahyang pada sepertiga malam dan tidur pada seperenamnya." 
Sabdanya lagi: 
Perintah Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga pada waktu tinggal sepertiga yang akhir pada waktu malam, lalu berseru: Adakah orang yang memohon , pasti Aku kabulkan, adakah orang yang meminta pasti Aku akan beri dan adakah yang memohon ampun, pasti Aku akan ampuni baginya sehingga Subuh. 
Inilah antara fadilat-fadilat sembahyang malam. Fadilat ini boleh digunakan untuk fadilat tahajud. 
(4)
Cara-cara mengerjakan sembahyang tahajud dan sunat mutlak malam. 
Niat: Aku sembahyang sunat tahajud dua rakaat kerana Allah Taala. 
Kerjakan sembahyang sebagaimana sembahyang sunat lainnya. Dan untuk sembahyang malam ini, disunatkan memperpanjangkan berdiri dari memperbanyakkan sujud, sabda nabi s.a.w,: 
"Sebaik-baik sembahyang ialah yang memperpanjangkan berdirinya." 
Memperpanjangkan berdiri ialah memperbanyakkan membaca al-Quran. Memperbanyak sujud ialah dengan memperbanyakkan tasbih. Membaca al-Quran lebih baik dari bertasbih. 
Selepas mengerjakan sembahyang, hendaklah membaca doa di bawah ini, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari: 
Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkaulah penegak langit, bumi dan alam semesta serta segala isinya. BagiMulah segala puji. Pemancar cahaya langit dan bumi. bagimulah segala puji. Engkaulah yang haq, janjiMu adalah benar, pertemuanMu adalah benar, firmanMu adalah benar, syurgaMu adalah benar, nerakaMu adalah benar, Nabi-nabi adalah benar, Muhamad s.a.w. adalah benar dan kiamat adalah benar. Ya Allah kepadaMulah aku berserah diri, kepada Engkaulah kami kembali, kepada Engkaulah kami merindu, kepada Engkaulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang telah kami lakukan dan yang sebelumnya, baik yang kami sembunyikan atau yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau Allah Rabbul Alamin. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. 
Selepas berdoa, perbanyakkanlah mengucap istighfar, antara istighfar yang dianjurkan serta sabit dengan hadis yang sahih ialah Saiyidul Istighfar (Penghulu Istighfar): 
Ya Allah, Engkaulah Tuhan kami, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang menjadikan kami, dan kami adalah hambaMu, dan kamipun dalam ketentuanMu serta janjiMu sedapat yang kami lakukan. Kami memohon perlindunganMu daripada kejahatan apa yang kami lakukan, kami mengakui kenikmatan yang telah Engkau limpahkan kepada kami dan kami juga mengakui akan dosa kami, keran itu berikanlah keampunan kepada kami, sesungguhnya tidak ada yang memberi pengampunan kecuali Engkau. 
Sembahyang sunat mutlak, eloklah dilakukan dua rakaat, dua rakaat.. sehingga berapa banyak yang disukai. Selepas itu bolehlah membaca doa dan istighfar di atas.
Wallahu a'lam.
Rujukan
1. Fathul Wahab - Syeikhul Islam Zakaria al-Ansori, vol 1 
2. Minhaj al-Thalibin - Imam al-Nawawi
3. Mughnil Muhtaj - Syeikh Muhamad alKhatib al-Syarbini, vol 1 
4. Al-Feqhul Islami Wa adillatuh - Dr Wahbah al-Zuhaili, vol 2 * 
5. Sabilul Muhtadin - Syeikh Muhamad Arshad al-Banjari vol 2** 
6. I'anah al-Thalibin - Syeikh Muhamad Satha al-Dimyathi vol 1 
7. Fathul Mu'in - Syeikh Zainudin al-Malbari*
  * Ada terjemahan 
  ** Kitab jawi klasik 
para ulamak telah ijmak mengatakannya sebagai sunat. Dan ia pernah diwajibkan pada permulaan Islam. Bagi orang-orang yang telah biasa melakukan tahajjud, makruh hukumnya meninggalkan tahajjud. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RECENT POST KEBAL BERDURI

get this widget here