Wahai sahabatku, jarang sekali kita mendengar 'sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya'. Begitu juga dengan peringatan-peringatan yang perlu kita sedari.
Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sahabatku, indahnya iman itu hanya si pemilik hati yang pernah merasainya sahaja tahu betapa seronoknya berada dibawah perlindungan Allah swt. Ibadah yang kita lakukan, samada wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih indah dalam hidup ini. Kerana setiap kali hatinya menyebut nama Allah dalam zikirnya, hatinya terasa rindu untuk berjumpa denganNya. Tatkala hatinya baharu selesai menunaikan solat, tiba-tiba air mata yang jernih mengalir dari matanya, menangis mengharapkan rahmat dan keampunan dari Tuhan yang Maha Esa. Segala kehidupan seseorang itu indah belaka, tiada satu pun yang lari dari mengingati Allah S.W.T.
Sejahat-jahat manusia sekalipun, pastu tetap terdetik dihatinya perasaan rindu dalam mencari ketenangan hidup apabila bersama dengan Tuhannya.
Ada sebab mengapa ketenangan itu hilang.
Kelazatan milo yang baru dibancuh tidak sama dengan kelazatan milo yang telah basi. Refleks semula kepada diri kita, ketenangan hidup bersama agama tidak sama apabila kehidupan sudah bercampur dengan kemaksiatan. Kelazatan maksiat telah menukar keindahan yang ada pada ketenangan hidup yang hakiki.
Umpama paku yang dicabut dari dinding, walau paku itu hilang, tetapi bekas lubang tembusan paku itu masih wujud secara nyata. Begitu juga dengan hati kita. Ketika hati kita dicemari dengan maksiat, beribu-ribu paku telah tersusuk di dalam hati. Walaupun kita meninggalkan kemaksiatan tersebut, tetapi kesannya masih dasyat kerana kesan lubang itu pasti wujud meninggalkan bekas. Dan kesan-kesan inilah yang jika kita tidak mampu menampalnya yang akhirnya membawa gelombang kedua agar kemaksiatan itu berlaku lagi sekali dalam episod kehidupan manusia.
Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya.
Sebelum kita menjadi hamba yang serugi-ruginya, kembalikanlah ketenangan dan kemanisan iman itu secepat mungkin sebelum kenikmatan maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah kepadaNya. Kerana, apabila hati sudah berani berpaling daripada Allah, kita akan menjadi hamba yang tersesat untuk kembali.
Muhasabah untuk kembali
Jujur pada diri sendiri dalam menjawab pertanyaan persoalan diri. Akuilah segala kesilapan dan kemaksiatan yang telah kita lakukan. Tidak perlu jawapan itu diceritakan kepada orang lain, tetapi cukup sekadar kita mengingati kepada diri kita sendiri agar berusaha kembali kejalan Nya.
Jika dikau keliru atas kesilapan yang lalu.
Andainya dirimu merasakan tidak berupaya untuk kembali kerana keliru atas kesilapan yang lalu, jangan dirimu itu berputus asa kerana Allah sentiasa bersama mu. InsyaAllah, ada jalan yang benar terbentang dihadapan mu itu.
Kembalilah kepada yang Esa, yakinlah kepadaNya, pohonlah kepadaNya
No comments:
Post a Comment